Monday 16 July 2012

engkau yang semalam....

Pabila terkenang
Jiwa terasa sakit
Hati berkata
Bila ia akan berakhir
Jauh daripada sudut hati
Ingin melepaskan semua
Terkadang datang menerpa
Tanpa di duga
Ternyata pasti
Bertubi-tubi
Menyesakkan lagi naluri
Yang kian mati

Di ketika itu
Cengkung mewarisi wajah
Rona ceria semakin pudar
Diselangi senyuman tawar
Kewarasan akal beralih arah

Namun di sebalik
Jiwa yang kelam lagi tandus
Kealpaan berkunjung pergi
Dek kehadiran suatu pengharapan
Bertatih ke jalan insani

Di suatu sudut yang berpaksi
Tersemburlah daki daripada hati
Merintih pada Nya
Penuh curahan
Satu persatu dilontarkan
Beban kian ringan digalasi
Kegersangan jiwa bercambah
Dengan putik ketenangan

Usah kau hadir lagi
Walau sekilas cuma
Mengusung jasad ke lembah sepi
Bagai kegelapan yang mati



Sunday 15 July 2012

kisah yang panjang....


Qabil dan Furqan telah berkawan sejak Januari 2008 lagi. Akibat berkongsi minat dan hobi telah mengakrabkan perhubungan mereka. Di awal perkenalan, Qabil berada di tahun akhir pengajian diplomanya manakala Furqan berada dalam semester 1 juga pengajian diploma. Jarak umur mereka adalah 3 tahun. Perhubungan mereka pada awalnya hanyalah sekadar rakan sebilik di hostel kolej universiti mereka. Furqan mempunyai seorang adik angkat yang bernama Jazlee di kolej berikutan ketiadaan adik beradik lelaki dalam keluarga.

Perhubungan ketiga-tiga mereka lebih akrab selepas Qabil mengambil keputusan untuk menyambung pengajian  ijazah sarjana muda di kolej universiti yang sama 6 bulan selepas tamat pengajian diploma. Mereka telah bersetuju untuk tinggal bersama di hostel di kolej mereka. Pada awalnya bilik yang dipilih tidak memuaskan hati mereka kerana gelagat rakan sebilik yang mewujudkan suasana bilik yang tidak selesa dan tidak sihat untuk didiami. Walaupun begitu mereka tetap mengagahkan diri untuk mengharungi kesulitan tersebut dengan sabar. Mereka bertindak keluar dari bilik mereka pada waktu malam untuk study dan menyiapkan assignment. Menjelang tengah malam, mereka pulang untuk tidur walaupun keadaan bilik mereka masih riuh rendah seperti berpesta.  

Pada suatu hari, Furqan dan Jazlee telah keluar berhibur bersama rakan-rakan mereka tanpa Qabil mengikuti mereka kerana Qabil masih mengikuti kelas pengajian sehingga ke petang. Qabil berasa tidak sedap hati kerana rakannya masih tidak pulang walaupun menjelang 12 tengah malam. Lalu Qabil menelefon Jazlee menanyakan di mana mereka berada. Furqan, Jazlee dan rakan-rakan lain telah tersesat dengan melalui jalan yang asing bagi mereka untuk pulang ke kolej. Mereka telah melalui jalan yang jarang dilalui oleh penghuni jalan raya yang lain. Qabil yang bimbang dengan keselamatan mereka telah mengarahkan supaya berpatah balik dan tidak meneruskan perjalanan. Menurut mereka keadaan jalan tersebut gelap dan sunyi. Akhirnya mereka telah keluar daripada jalan yang asing bagi mereka dan menemui jalan pulang ke kolej dengan selamat.

Tidak semua perhubungan akan yang dibina tanpa ada pasang dan surutnya. Begitu juga perihal perhubungan mereka bertiga. Tidak lekang dilanda masalah dalam perhubungan sesama rakan. Pasti ada hati akan terasa dan tidak berpuas hati dengan tindakan rakan sebilik yang lain. Tidak perlu diceritakan bagaimana sesuatu perhubungan runtuh ataupun diambang keruntuhan. Sifat bertolak ansur serta saling memahami di antara satu sama lain perlu untuk mewujudkan hubungan yang lebih erat.

September 2009 mereka telah sebulat suara untuk duduk berasingan dengan bermulanya semester baru. Masing-masing dengan rakan bilik yang berlainan tetapi masih lagi berhubung seperti beraktiviti makan malam dan study bersama. Qabil mulai hilang fokus dan mudah putus asa atas semua yang dilakukan. Pelajarannya cukup terabai hinggakan kuliah dan tutorial sering kali tidak dihadirinya. Qabil lebih suka berhujung minggu di rumah dari tinggal di hostel. Qabil sering kehilangan semangat untuk melakukan sesuatu hinggakan Furqan terpaksa memberikan sokongan kepada Qabil untuk terus bersemangat menjalani sesi pengkuliahan. Qabil lebih senang meluahkan apa yang terpendam kepada rakannya Furqan. Furqan pun begitu juga. Hampir semua isu dikongsi bersama tidak kira apa pun topiknya.

Hubungan kawan rapat antara Qabil dan Furqan diuji apabila Qabil dan Jazlee keluar bersama untuk melepaskan tekanan masing-masing sebelum menjelang peperiksaan akhir semester. Qabil terlupa sesuatu tentang apa yang Furqan katakan tentang masalah kewangan adik angkatnya, Jazlee. Akibat taksub sangat hendak berhibur, Qabil lupa dan lalai. Qabil telah mengajak Furqan tanpa memberitahu yang Jazlee akan ikut sama untuk berhibur. Perselisihan telah berlaku antara Qabil dan Furqan. Furqan menyatakan yang Qabil cuba untuk merampas adik angkatnya. Tapi Qabil tidak pernah pun ada niat untuk melakukan apa yang diungkapkan oleh Furqan. Akhirnya Qabil memutuskan untuk menjalani kehidupan sendirian tanpa kedua-dua orang rakannya itu. Qabil memaafkan kesalahan rakan-rakannya tanpa menyimpan sebarang dendam.

Ketika minggu-minggu peperiksaan akhir semester berlangsung, bulan Ramadan turut menyusul serentak. Qabil dengan hidupnya sendiri manakala Furqan dan Jazlee masih bersama. Qabil pernah mencuba untuk kembali menyambung persahabatan mereka tetapi ditolak oleh Furqan. Kata Furqan, dia tidak mahu menyakiti mana-mana pihak antara mereka lagi. Minggu akhir peperiksaan, Qabil terserempak dengan Jazlee selepas habis kertas peperiksaan. Mereka sempat bersalaman dan saling bermaafan. Qabil bertindak untuk tidak lagi berhubung dengan Furqan dan Jazlee melalui facebook dan juga telefon. Adakalanya Jazlee menghubungi Qabil tetapi Qabil mengendahkan panggilan dan mesej daripada Jazlee. Furqan langsung tidak menghubunginya lagi.

Dalam bulan Syawal 2010, Furqan telah menghantar mesej yang mengatakan yang dia akan menyambung pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda. Qabil mengucapkan tahniah. Tiba hari pendaftaran Qabil menanyakan bila Furqan akan melapor diri untuk pelajar baru melalui SMS. Furqan membalas dengan baik pertanyaan Qabil. Akhirnya Qabil dan Furqan bertemu semula dan berhubungan kembali. Jazlee pula tidak menyambung pengajian kerana ingin terus bekerja. Keakraban Qabil dan Furqan seperti sedia kala. Mereka berdua mempunyai kelas yang sama untuk semester yang baru. Semester berkenaan berjalan lancar dimana mereka berdua turut sama menyertai aktiviti melibatkan persatuan.

Semester berikutnya Qabil telah mengambil keputusan untuk berulang alik dari rumah ke kolej kerana hanya ada beberapa subjek untuk ditamatkan. Semester tersebut Furqan telah menjadi leader untuk progam persatuan. Pada awalnya Qabil bersetuju untuk menyandang jawatan ketua untuk suatu biro dalam program terbabit. Kemudian dia telah berubah hati untuk memberikan jawatan tersebut kepada orang lain. Niat itu telah disampaikan kepada rakan baiknya itu. Kerana ingin membantu Furqan menjayakan program tersebut, Qabil telah kembali bersetuju untuk kembali semula.
Akan tetapi akibat sikap menangguh dalam membuat sesuatu oleh Qabil, maka biro dibawah kelolaan Qabil tidak menyumbang apa-apa kepada progam terbabit. Qabil mengambil sikap membatu tanpa memberi penjelasan kepada Furqan. Mesej yang dihantar oleh Furqan tidak pernah dibalasnya. Furqan berasa sakit hati dengan perlakuan Qabil terhadap programnya itu.

Selepas berakhirnya minggu program tersebut, Qabil telah meminta maaf atas kesalahan yang dilakukannya. Menurut Qabil dia mengaku yang dia telah melakukan kesalahan terbabit dan tidak mahu lagi berhubungan dengan tujuan tidak mahu menyakitkan hati rakan baiknya itu. Dan akhirnya Qabil membawa haluannya sendiri.

Menurut Qabil seandainya diberi peluang kepada dirinya, dia ingin sekali membetulkan kesalahan yang telah dilakukan. Namun kini, dia nekad untuk melupakan semua yang pernah dilakukan bersama rakannya. Dia percaya orang yang disakitinya dulu, enggan lagi menerimamya seperti sebelum ini. Qabil sangat berterima kasih kepada rakannya yang telah sanggup berkawan dengannya dan menerima dirinya seadanya. Dia berharap rakannya itu dapat memaafkan semua kesalahan yang pernah dilakukan. Qabil tidak pernah cuba untuk berubah dan mengambil pengajaran daripada pengalaman yang lepas dengan bersikap matang dan terbuka. Bagi Qabil, Furqan seorang yang kuat semangat, bijak, bersungguh-sungguh dalam membuat sesuatu, banyak idea, seorang yang sentiasa menegur kesalahan dan seorang yang tidak pernah berkira dengan rakan-rakannya. Dia berharap dan berdoa agar Furqan akan berjaya dengan apa yang dilakukan pada masa akan datang. 

Bagaimanapun perhubungan mereka masih terus terjalin sehingga sekarang…..